Kemana harus aku cari?

20101115

wanita pertama syahid dalam islam...

Dialah Sumayyah binti Khiyat, hamba sahaya dari Abu Hudzaifah bin Mughirah. Hidupnya sebatang kara dan beliau bernikah dengan Yasir seorang pendatang yang kemudian menetap di Mekah kerana pada masa itu tidak ada kabilah yang dapat membelanya, menolongnya dan mencegah kezaliman atas dirinya. Hasil pernikahannya itu lahirlah anak mereka berdua yang bernama Ammar dan Ubaidullah.


Tatkala Ammar hampir menjelang dewasa dan sempurna sebagai seorang laki-laki, beliau mendengar agama baru yang didakwahkan oleh Muhammad bin Abdullah s.a.w. kepada beliau. Akhirnya, berfikirlah Ammar bin Yasir sebagaimana berfikirnya penduduk Mekah. Kerana kesungguhan dalam berfikir dan fitrahnya yang lurus maka masuklah beliau ke dalam agama Islam. Ammar kembali ke rumah dan menemui kedua orang tuanya dan menceritakan kejadian yang beliau alami hingga pertemuannya dengan Rasulullah s.a.w. kemudian menawarkan kepada keduanya untuk mengikuti dakwah yang baru. Ternyata Yasir dan Sumayyah menyahut dakwah yang penuh barakah itu dan mengumumkan keislamannya sehingga Sumayyah menjadi orang ketujuh yang masuk Islam.


Dari sinilah bermulanya sejarah yang agung bagi Sumayyah yang bertepatan dengan permulaan dakwah Islam. Sejarah Islam telah memaparkan bahawa hampir semua orang yang masuk Islam di peringkat awal telah menerima seksaan dari orang-orang kafir Quraisy. Berbagai cara yang telah dilakukan orang-orang kafir Quraisy untuk melemahkan semangat Islam pada jiwa pengikut Muhammad s.a.w. termasuklah menyeksanya dengan kejam. Namun demikian, usaha mereka gagal dan tidak dapat menawan hati orang-orang Islam. Antara mereka yang menerima seksaan hebat itu ialah Sumayyah, ibu Ammar bin Yasir.


Ia adalah seorang yang sangat tabah dan cekal dalam mengharungi sebarang ujian. Keimanannya tidak pernah luntur sekalipun ia banyak menerima ancaman dan penyeksaan dari Abu Jahal. Suatu ketika Abu Jahal menyedari bahawa seorang demi seorang hambanya telah memeluk Islam. Ia merasa sangat marah lalu mengambil tindakan keras terhadap mereka lantas Bani Makhzum segera menangkap Sumayyah dan suaminya serta dua orang anaknya Ammar dan Ubaidullah telah ditangkap. Tangan dan kaki mereka telah diikat dengan tali sehingga tidak mampu untuk melepaskan diri.


Abu Jahal berusaha memaksa Sumayyah dan keluarganya supaya meninggalkan ajaran nabi Muhammad s.a.w. Abu Jahal berkata dengan keras, "Celaka kamu semua, Muhammad itu adalah seorang gila, mengapa kamu mengikut ajarannya? Jika kamu mahu selamat. kembalilah kepada agama nenek moyang kita".


Oleh kerana Yasir, Sumayyah dan anak-anak mereka masih setia dengan Islam, Abu Jahal mengambil keputusan untuk melakukan deraan. Mereka semua telah dilemparkan di tengah-tengah padang pasir yang panas di simbah kepanasan matahari, kemudian meletakkan di atas dadanya sebongkah batu yang berat akan tetapi tiada terdengar rintihan ataupun ratapan. Ketika itu Sumayyah menyaksikan sendiri bagaimana nasib yang menimpa ke atas keluarganya. Dia terpaksa menerimanya dengan hati yang tabah dan redha kepada ketentuan Allah s.w.t.


Abu Jahal semakin meradang kerana keteguhan hati wanita ini, kekuatan imannya dan kekukuhannya berpegang kepada akidahnya. Maka dari itu dia pun meningkatkan keseksaannya. Mula-mula Sumayyah menyaksikan suaminya, Yasir disebat dengan cemeti. Kemudian ia dipanggang di atas bara api sehingga dagingnya melecur. Bau kulit terbakar menusuk hidung. Yasir tidak dapat menahan kesakitan yang amat sangat sehingga dia menghembuskan nafas yang terakhir. Sumayyah melihat kejadian itu dengan hati yang sabar dan tenang. Kedua-dua orang anaknya berpelukan sambil menangis kerana kesedihan.


Kemudian Sumayyah melihat sendiri bagaimana giliran anaknya Ubaidullah menerima seksaan. Ubaidullah diangkat ke atas pemanggang api yang sedang menyala-nyala. Tubuhnya terbakar sehingga hangus, dia mati dengan wajah yang berseri-seri. Abu Jahal sedang dalam kemarahan kerana keluarga Sumayyah masih enggan meninggalkan agama Muhammad s.a.w. Sebagai seorang ibu, Sumayyah tetap merasa sedih dengan kejadian itu tetapi dia berdoa agar Allah s.w.t. memberikan balasan yang baik kepada keluarganya.


Sumayyah menerima hukuman dari Abu Jahal dengan hati yang tenang. Dia diangkat ke atas tempat pemanggang api, kemudian diturunkan semula. Abu Jahal berkata, "Jika engkau mahu keluar dari agamamu, aku akan lepaskan Ammar." Lantas Sumayyah berkata dengan tenang kepada Abu Jahal "Ammar tahu tanggungjawapnya terhadap Tuhan, sebagaimana aku tahu tanggungjawapku terhadap Tuhanku. Oleh itu, aku tidak ada kaitan dengannya."


Dengan hati yang marah, Abu Jahal dan para pengikutnya telah mendera Sumayyah dengan keras. Sumayyah telah dijemur di tengah padang pasir yang panas, dia dibiarkan di bawah pancaran matahari yang sangat terik. Tubuhnya telah ditusuk dengan sebatang tombak yang tajam. Akhirnya Sumayyah menemui ajalnya dengan keimanan yang suci.
Sungguh mulia kedudukan Sumayyah di sisi Tuhannya. Rasulullah s.a.w. yang menyaksikan peristiwa tersebut ada menyatakan, "Bersabarlah wahai keluarga Yasir! kerana tempat yang dijanjikan untukmu adalah syurga."
Abu Jahal telah membunuh Sumayyah kerana dia menolak untuk tunduk kecuali kepada Allah semata-mata.


Firman-Nya :
“Dan mereka tidak menyeksa orang-orang Mukmin itu melainkan kerana orang-orang Mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.” (Al-Buruj : 8).


Begitulah semangat dan keberanian Sumayyah ketika menghadapi ujian yang paling berat. Ia bukan sahaja wanita yang hebat dengan ketabahannya, bahkan tercatat dalam lembaran sejarah dengan tinta emas. Dialah wanita terulung mati syahid dalam Islam. Dengan keimanannya, Sumayyah berani menghadapi golongan manusia yang paling zalim sebaris dengan Fir'aun. Gambaran wanita cemerlang inilah yang harus dimiliki oleh kelompok orang-orang yang beriman dalam menghadapi pihak yang zalim.